"Tanpa Roh, jasad akan mati, belajarlah mengenali Roh dan cubalah menyatukan diri dengannya. Banyak faedah akan anda ketahui." ~YTM TKS Yang DiPertuan Besar Panji Alam

Wednesday, October 21, 2015

SALASILAH & USUL PERGURUAN GAYONG MA'ARIFAT


Persatuan Seni Silat Gayong Ma’arifat Malaysia (PSSGMM) telah diasaskan oleh T.K.S Datuk Paduka Dr. Azam Zulkifli Al-Qadiri selaku Guru Utama PSSGMM pada bulan Januari tahun 1990 di Lentang, Bentong, Pahang Darul Makmur. Beliau juga merupakan Ketua Tertinggi Dewan Perguruan & Adat Istiadat PSSGMM yang memegang gelaran YTM Yang DiPertuan Besar Panji Alam. Beliau telah dilantik selaku Ketua Tertinggi Dewan Perguruan & Adat Istiadat PSSGMM seumur hidup yang menjaga sistem pendidikan dan adat  istiadat, serta selaku penasihat dan juga penguatkuasaan Undang-Undang Adat dalam PSSGMM.


YTM Yang DiPertuan Besar Panji Alam mula mengenali Seni Silat Melayu sejak berusia dua tahun. Pada peringkat awal, ketika berusia 2–12 tahun, beliau sering berlatih silat secara sendirian. Hanya mengikut gerak naluri dan rasa. Kemungkinan kebolehan ini datang kepada beliau atas nasab keturunan yang ada pada beliau. Ibu bapanya berasal daripada jalur keturunan pendekar. Maka, dengan izin-Nya, beliau mampu dan pandai bersilat tanpa berguru. Pada tahun 1977, beliau menetap di Kuala Krau, Temerloh, Pahang. Pada waktu itu, Seni Silat Melayu kian berkembang di kampung dan pekan kecil di sekitar Temerloh hingga Jerantut. Antara Seni Silat Melayu yang giat menabur ilmu ialah Silat Nasrul Haq, Tapak Suci, Wali Suci, Gayung 7, Sendeng 2 Beradik dan Seni Silat Lincah. Seni Silat Gayong turut menumpang kemeriahan alam persilatan pada waktu itu. Walaupun Seni Silat Melayu semakin mendapat tempat di hati masyarat pada masa itu, masih ada Seni Silat Tua yang aktif menurunkan ilmunya kepada pemuda dan pemudi yang berminat. Ketika itu, YTM Yang DiPertuan Besar Panji Alam mulai jatuh hati kepada sebuah Perguruan Silat Tua negeri Pahang daripada aliran Sutan Muakat yang bernama Seni Silat ‘Panding Juan’. Beliau memperolehi ilmu ini daripada Guru Tua yang dihormati, iaitu seorang Pendekar yang tersohor di negeri Pahang. Guru Tua itu bernama Tuan Guru Haji Abdullah bin Simat. YTM Yang DiPertuan Besar Panji Alam dengan rendah hati telah menghambakan diri mempelajari dan membantu mengembangkan seni silat ini daripada tahun 1977 sehingga tahun 1985.


Kemudian, keinginan beliau mula bercambah kepada ilmu kerohanian dan kebatinan aliran ilmu Persilatan Melayu. Untuk mendalaminya, beliau telah menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia daripada tahun 1986 sehingga tahun 1989. Beliau telah mempelajari pelbagai ilmu kebatinan Persilatan Melayu daripada 32 orang guru silat. Namun begitu, beliau belum lagi merasa puas kerana apa yang dicari-cari selama ini, masih belum ditemui. Beliau sebenarnya mencari satu aliran persilatan yang mampu mendidik dirinya untuk dunia dan akhirat. Beliau bukan semata-mata mencari kehebatan dunia atau mencari nama, tetapi beliau mencari kepuasan hati. Beliau mencari ilmu yang mampu menjadikan beliau seorang yang berakhlak, tenang dan selamat di dunia dan di akhirat. Telah ditakdirkan Allah SWT, pada Disember 1989, beliau telah menemui seorang guru tua yang mampu membimbing dan mendidik beliau mengenali jalan Tuhan. Beliau berguru dengan guru tua tersebut selama 3 tahun (1990 – 1993). Guru Tua ini telah mengarahkan beliau untuk melakukan uzlah di hutan Lentang, Bentong, Pahang. Pada tahun 1991, beliau telah didatangi pula oleh seorang guru tua yang membawa aliran persilatan warisan Laksamana Datuk Hang Tuah. Beliau telah berguru kepada guru tua kedua ini selama dua tahun (1992 – 1993). YTM Yang DiPertuan Besar Panji Alam telah menamatkan pengajian ilmu ketuhanan dan persilatan daripada kedua-dua guru tua tersebut pada penghujung tahun 1993. Jika mahu mengetahui siapakah kedua-dua guru tua tersebut, perlulah mengadap YTM Yang DiPertuan Besar Panji Alam secara peribadi atau bertanya kepada Guru Kanan Seni Silat Gayong Ma’arifat itu sendiri.


Oleh kerana silat ini banyak menggunakan kaedah Kerohanian (Islam) dan Tenaga Dalaman, disamping konsep tawakal kepada Allah S.W.T. yang sangat dititikberatkan oleh YTM Yang DiPertuan Besar Panji Alam dalam setiap gerak silatnya, maka beliau telah mendapat ilham menamakan silat ini dengan nama   “ Persatuan Seni Silat Gayong Ma’arifat Malaysia”. Pada tahun 1993, beliau telah diamanahkan oleh kedua-dua guru tua tersebut untuk mengembangkan Seni Silat Warisan Datuk Laksamana Hang Tuah ke seluruh dunia. Selain daripada mengembangkan ilmu persilatan, ia juga bertujuan untuk memperkenalkan budaya Melayu kepada masyarakat dunia. 



YTM Yang DiPertuan Besar Panji Alam tidak terlibat dalam urusan pentadbiran dan lain-lain urusan pengurusan PSSGMM. Kerana PSSGMM mempunyai susun-atur pentadbirannya sendiri dan lengkap, yang diketuai oleh Presiden PSSGMM serta barisan Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa peringkat Cawangan Negeri di seluruh Malaysia.

PRESIDEN PSSGMM
Datuk Paduka Bentara Setia Sri Gemilang
Malek Redzuan Hashim Al-Qadiri

0 comments:

Post a Comment